Zaman Moden Sejarah_China

Kedua-dua Perang Candu yang tersebut di atas serta perdagangan candu membawa akibat yang amat merugikan kepada dinasti Qing dan penduduk-penduduk Cina. Perbendaharaan empayar Qing dua kali diisytiharkan muflis, akibat pembayaran ganti rugi yang dikenakan kerana perang-perang candu, serta aliran keluar logam perak yang banyak, akibat perdagangan candu (pada tahap berpuluh-puluh bilion auns). China mengalami dua kebuluran yang paling teruk tepat dua puluh tahun selepas setiap perang candu pada dekad 1860-an dan dekad 1880-an, dengan kerajaan Qing tidak berupaya untuk membantu penduduknya. Dari segi sosial, peristiwa-peristiwa ini mempunyai kesan yang besar kerana ia mencabar hegemoni yang dinikmati oleh orang-orang Cina di Asia selama berabad-abad. Oleh itu, negara China di dalam keadaan huru-hara.

Pemberontakan Taiping, sebuah pemberontakan yang besar, membabitkan sekitar satu pertiga kawasan China yang dikuasai oleh Taiping Tianguo, gerakan agama kuasi-Kristian yang diketuai oleh Hong Xiuquan, "Raja dari Syurga". Hanya selepas empat belas tahun bahawa pemberontakan Taiping akhirnya dihancurkan ketika angkatan tentera Taiping dimusnahkan dalam Pertempuran Ketiga Nanking pada tahun 1864. Pada keseluruhannya, antara 20 - 50 juta orang dikorbankan, dan menyebabkan perang ini merupakan perang yang kedua paling mengorbankan nyawa dalam sejarah manusia.

Pegawai-pegawai Qing lambat menerima kemodenan dan berasa sangsi terhadap kemajuan-kemajuan sosial dan teknologi yang diperlihatkan mereka sebagai satu ancaman terhadap penguasaan mutlak mereka ke atas China. Sebagai contoh, serbuk letupan yang telah digunakan secara meluas oleh tentera-tentera Dinasti Song dan Dinasti Ming diharamkan oleh raja-raja Qing selepas mereka mengambil alih China. Oleh itu, Dinasti Qing tidak berupaya menangani pemasukan negara-negara Barat. Kuasa-kuasa barat ada masuk tangan secara ketenteraan untuk mengatasi keadaan huru-hara, seperti Pemberontakan Taiping serta Pemberontakan Petinju anti-imperialis. Jeneral Gordon, yang kemudian dibunuh dalam pengepungan Khartoum, Sudan, sering diberikan penghargaan kerana menyelamatkan Dinasti Qing daripada pemberontakan Taiping.

Menjelang dekad 1980-an, Dinasti Qing berjaya mematahkan pemberontakan Taiping pada kos dan pengorbanan nyawa yang amat tinggi. Ini menjejaskan kebolehpercayaan rejim Qing dan dianjurkan oleh para ketua dan ningrat provinsi tempatan, menyumbangkan kepada kebangkitan hulubalang-hulubalang di China. Dinasti Qing di bawah Maharaja Guangxu bermula untuk menangani masalah kemodenan melalui Gerakan Pengukuhan Diri. Bagaimanapun, antara tahun 1898 dan tahun 1908, Maharani Balu Cixi mempenjarakan reformis Guangxu atas tuduhan 'ketakupayaan mental'. Dengan bantuan puak konservatif, Cixi memulakan sebuah rampasan kuasa ketenteraan dan secara berkesan menghapuskan kuasa Maharaja yang muda, serta memulihkan kebanyakan reformasi yang lebih radikal. Maharaja tersebut mangkat sehari sebelum kematian Maharani Balu (sesetengah orang mempercayai bahawa Guangxu diracuni oleh Cixi). Amalan rasuah oleh para pegawai, kesinisan, serta pergaduhan-pergaduhan keluarga diraja mengakibatkan kebanyakan reformasi ketenteraan tidak berguna. Oleh itu, "Tentera Baru" kerajaan Qing ditewaskan dengan teruk dalam Perang China-Perancis (1883-1885) dan Perang China-Jepun (1894-1895).

Pada permulaan abad ke-20, Pemberontak Petinju mengancam China utara. Para pemberontak merupakan gerakan anti-imperialis konservatif yang cuba memulihkan China kepada cara-cara lama. Maharani Balu yang mungkin cuba memastikan pemegangan kuasanya, menyebelahi pihak petinju ketika mereka mara ke Beijing. Sebagai gerak balas, Perikatan Lapan Negara menyerang China. Perikatan itu yang terdiri daripada tentera British, Jepun, Rusia, Itali, Jerman, Perancis, Amerika Syarikat dan Austria, menewaskan petinju-petinju dan menuntut lebih banyak konsesi daripada kerajaan Qing.